RAKYAT Malaysia yang bekerja di Singapura berjalan kaki menyeberangi Tambak Johor untuk pulang. FOTO BERNAMA
RAKYAT Malaysia yang bekerja di Singapura berjalan kaki menyeberangi Tambak Johor untuk pulang. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


KERAJAAN negeri menafikan dakwaan yang mengatakan tiada langkah dilakukan oleh kerajaan negeri untuk mengasingkan rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, laporan dalam beberapa portal yang memetik kenyataan pembangkang itu adalah tidak tepat dan hanya menimbulkan kerisauan rakyat negeri ini.

“Untuk makluman, sejak 3 April sehingga 7 April lalu, secara purata 1,000 warga Malaysia pulang dari Singapura setiap hari selepas republik itu mengumumkan untuk melaksanakan perintah kawalan ketat bermula Selasa lalu,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Hasni, sesiapa juga yang melalui pintu masuk negara, khususnya di Tambak Johor dan Tanjung Kupang, Gelang Patah akan menjalani saringan suhu badan dan sekiranya ada yang bergejala, mereka akan diasingkan terus dan dirujuk ke hospital.

“Bagi pekerja Malaysia di Singapura yang sudah menjalani ujian calitan tekak di republik itu dan keputusan disahkan negatif Covid-19, mereka dibenarkan pulang ke rumah untuk melakukan kuarantin sendiri selama 14 hari di kediaman mereka dengan pemeriksaan berkala akan dijalankan oleh pasukan kesihatan.

“Manakala yang tidak mempunyai bukti ujian negatif secara dokumentasi sahih akan dibenarkan pulang ke Malaysia namun perlu ditempatkan ke pusat kuarantin yang disediakan di negeri ini, seperti juga rakyat Malaysia lain yang kembali dari luar negara,” katanya.

Hasni mengulas dakwaan pembangkang yang mendakwa kerajaan negeri tidak mengambil apa-apa langkah pencegahan dalam mengasingkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sekali gus mendedahkan rakyat Johor kepada penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, pemeriksaan perubatan juga akan dijalankan semula di pusat kuarantin yang ditetapkan untuk memastikan rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura bukan Individu Dalam Siasatan (PUI) atau bergejala selain tiada penyakit kronik.

“Individu yang berpenyakit kronik akan diasingkan dan dimasukkan ke hospital untuk dikuarantin.

“Pemeriksaan harian akan dijalankan di semua pusat kuarantin bagi memastikan tiada gejala kepada mana-mana rakyat di situ malah ujian saringan Covid-19 akan dijalankan,” katanya.

Hasni berkata, beliau turut mengambil maklum dakwaan yang tular dalam media sosial berkaitan keadaan dua pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak memuaskan.

“Untuk makluman, 197 rakyat kita yang ditempatkan di dua pusat kuarantin berkenaan sudah dipindahkan secara berperingkat ke hotel yang diwartakan oleh kerajaan sebagai pusat kuarantin.

“Pusat kuarantin sedia ada turut mengambil kira keluasan bilik bagi mematuhi kehendak jarak sosial yang diperlukan.

“Setiap penghuni juga diberi taklimat mengenai tanggungjawab mereka supaya mematuhi arahan jarak sosial,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:15 PM