GAMBAR hiasan. FOTO Hasriyasyah Sabudin
GAMBAR hiasan. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Mohd Roji Kawi


SERAMAI 520, 647 Ketua Isi Rumah (KIR) di seluruh negeri akan menerima pengagihan topeng mulut dan hidung percuma daripada kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, keutamaan akan diberikan kepada penduduk di zon merah Covid-19 di negeri itu.

Sebelum ini, kerajaan negeri menempah dua juta topeng mulut dan hidung dari China dan kini tempahan itu sudah diterima.

"Topeng mulut dan hidung itu akan diagihkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) ke semua Bahagian dan Daerah dengan keutamaan di Zon Merah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Dua kawasan di Sarawak kini berada dalam Zon Merah iaitu Bahagian Kuching dan Kota Samarahan.

Abang Johari turut memaklumkan RM13.86 juta sudah diterima daripada 20 penderma kepada Tabung Covid-19 Sarawak.

"Wang sumbangan itu akan dibelanjakan untuk pelbagai urusan operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan operasi PKP di Sarawak yang berjalan dengan baik dan situasi di lapangan yang terkawal.

"Saya juga berpuashati operasi pengagihan bantuan bekalan makanan yang bermula Ahad lalu yang berjalan dengan lancar.

"Kita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sukarelawan yang menyumbangkan bakti dengan pengawasan para pemimpin setempat untuk memastikan operasi pengagihan dilaksanakan secara tersusun, khususnya untuk kawasan luar bandar dan pedalaman," katanya.

Berkaitan keselamatan pula, beliau berkata, pemantauan rapi terus dilaksanakan khususnya untuk mengekang kemasukan warga asing dari negara jiran ke Sarawak dalam tempoh PKP.

"Semua pintu masuk ditutup, begitu juga laluan terpencil yang jauh di kawasan pedalaman yang berdekatan dengan sempadan seperti di Long Singut di pedalaman Kapit," katanya.

Untuk rekod, Bahagian Kapit satu-satunya kawasan di Sarawak ketika ini yang dikategorikan sebagai Zon Hijau kerana sifar kes positif wabak Covid -19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:26 PM