ANTARA individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini. FOTO JUWAN RIDUAN
ANTARA individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


SERAMAI 16 individu termasuk tiga wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan pelbagai kesalahan termasuk berkaraoke di pusat hiburan.

Semua tertuduh yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Lovely Natasha Charles.

Mengikut kertas pertuduhan, semua mereka didakwa melanggar arahan PKP apabila ditahan sejak 2 April lalu sehingga semalam, di beberapa kawasan di daerah ini.

Semua tertuduh didakwa gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana tempat jangkitan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Semua mereka dikenali sebagai Elisen Abdul Rasan, Harfan Haryadie, Yusof Hassan, Rahmdan Abdul Aziz, Faizal Halim, Kong Kai Hung, Chiew Ken Hau, Jacob Arthur Kimlon, Jeshua Leong Chee Peng, Mohd Akhbar Busra, Roneal Sundang, Syariful Nizam Jamrang, Jeremiah Charles Barero.

Tiga lagi wanita iaitu Rahmah Jack, Siti Aisah Mohd Osman serta Sazuandy Paunil.

Terdahulu, pada sesi pertuduhan itu, Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

Bagaimanapun, dalam rayuan, beberapa tertuduh yang diwakili peguam Lim Ming Zoong dan peguam Ram Singh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana ada antara mereka sudah berkahwin, mempunyai anak, dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudiannya mengenakan hukuman denda RM500 hingga RM1,000 atau penjara jika gagal bayar serta mengenakan Perintah Kehadiran Wajib selama empat bulan atau penjara jika gagal mengikuti perintah berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:42 PM