BOT kenka yang ditahan menangkap ikan di luar waktu yang dibenarkan. FOTO Ihsan APMM
BOT kenka yang ditahan menangkap ikan di luar waktu yang dibenarkan. FOTO Ihsan APMM
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

TINDAKAN nelayan melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram menggunakan bot kenka mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), awal pagi hari ini.

Pengarah APMM Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, pihaknya mengesan mereka melakukan aktiviti itu di kedudukan 0.8 batu nautika dari muara Kuala Kurau pada 1 pagi.

Menurutnya empat nelayan masing-masing dua tekong dan dua awak-awak berusia 40 hingga 60 ditahan bersama dua bot sarat dengan hasil tangkapan dibawa ke jeti untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati keempat-empat nelayan itu melakukan kesalahan iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan kurang lima batu nautika dan menangkap ikan di luar waktu yang dibenarkan.

“Mereka kemudian diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis manakala dua bot serta tangkapan ikan dan udang sebanyak 200 kilogram dilelong,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Akta Perikanan 1985.

Katanya, pihaknya menasihatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kesempatan terutama di waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 7:43 PM