KREATIVITI Nurafiza mewujudkan kedai runcit untuk mengawal anaknya di rumah tular. FOTO ihsan  Nurafiza Nadzirah
KREATIVITI Nurafiza mewujudkan kedai runcit untuk mengawal anaknya di rumah tular. FOTO ihsan Nurafiza Nadzirah
Rosyahaida Abdullah


“TIDAK sangka pula idea ini menjadikan mereka teruja untuk lakukan semua perkara yang saya senaraikan malah kini mereka lebih berdisiplin,” kata Nurafiza Nadzirah Razali, 31.

Nurafiza tampil dengan idea mewujudkan ‘kedai runcit ibu’ di dalam rumahnya khusus buat dua anak lelaki yang sedang membesar berumur tiga dan enam tahun.

Menerusi idea itu kata Nurafiza, dua hero ciliknya perlu melakukan perkara yang sudah disenaraikan seperti mengemas permainan, membaca buku dan tidur siang bagi memperoleh wang.

Jelasnya, wang terbabit boleh digunakan anaknya untuk membeli pelbagai barang seperti biskut, bijirin, air coklat dan snek ringan yang ‘dijual di kedai runcit ibu’ terbabit yang dibuka mulai 10 pagi hingga 8 malam setiap hari.

“Misalnya jika mereka kemas permainan, saya akan berikan RM50 setiap seorang, kemas rumah akan dapat RM50 lagi manakala RM200 akan diberikan sekiranya mereka mengaji (baca al-Quran) selepas maghrib.

“Memandangkan kedua-dua mereka selalu mengelak untuk tidur siang, saya juga berikan ganjaran RM50 bagi setiap jam tidur siang mereka kerana itulah waktu yang membolehkan saya uruskan perniagaan dalam talian saya.

“Jika mereka baca buku pula, saya akan berikan RM150 seorang. Untuk bonus, saya berikan antara RM10 hingga RM15 jika mereka tidak bergaduh.

“Bagaimanapun, jangan pula ingat saya guna wang betul. Saya hanya gunakan wang permainan yang boleh dibeli secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nurafiza berkata, pada awalnya, idea itu timbul sekadar bagi mengawal dua anak lelakinya yang agak lasak malah sukar untuk tidur siang.

Jelasnya, susulan terlihat idea seumpama itu dilakukan seorang individu di Facebook (FB), suri rumah ini cuba mengadaptasi idea terbabit mengikut kesesuaian keadaannya.

“Suami saya bekerja dalam sektor telekomunikasi jadi dia masih perlu bergilir dengan rakan sekerja untuk ke pejabat dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini menyebabkan saya lebih banyak menjaga anak sendirian.

“Walaupun saya suri rumah, sebelum ini Nuh (anak sulung) dihantar ke tadika jadi hanya Hud (anak bongsu) berada di rumah bersama saya.

“Memandangkan tadika ditutup disebabkan PKP sekarang, saya perlu jaga kedua-duanya dan huru-hara juga jadinya kalau dibiarkan apabila mereka bergabung,” katanya.

Menurut Nurafiza, dia tidak menyangka disebabkan inisiatif itu juga, anak sulungnya umpama teruja untuk mengulangi aktiviti jual beli terbabit setiap kali bangun pagi.

“Jika diikutkan, Nuh lebih mudah dikawal malah boleh diharap untuk bantu saya mandikan adiknya dan kemas permainan apabila disuruh tetapi Hud (anak bongsu) agak panjang akalnya.

“Sebab itu saya cari jalan untuk pastikan mereka dapat dikawal dengan baik apabila kedua-duanya bergabung dan pada masa sama saya mahu masih boleh buat kerja rumah serta uruskan perniagaan dalam talian saya dengan teratur.

“Alhamdulillah, mereka semakin faham untuk kemas mainan masing-masing, mengaji, belajar dan sebagainya dengan rela hati menjadikan saya kadang-kala tidak sampai hati untuk terlalu berkeras dengan mereka,” katanya.

‘Kedai runcit’ Nurafiza tular di media sosial selepas hantarannya di FB berhubung idea itu mendapat perhatian warganet yang memuji kreativitinya mengawal anak di rumah sepanjang tempoh PKP.

Dalam tempoh kurang 24 jam sehingga 6 petang hari ini, hantaran Nurafiza yang menggunakan nama Puan Nadzirah Razali mendapat hampir 10,000 tanda suka dengan dikongsi sebanyak 17,000 kali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 8:18 PM