ANGGOTA perubatan ATM melihat borang deklarasi kesihatan bagi membantu petugas kesihatan dalam saringan jangkitan Covid-19 di pintu masuk negara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO BERNAMA
ANGGOTA perubatan ATM melihat borang deklarasi kesihatan bagi membantu petugas kesihatan dalam saringan jangkitan Covid-19 di pintu masuk negara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO BERNAMA
BERNAMA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dan akan terus membantu menguruskan kepulangan rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sememangnya mempunyai pasukan petugas Covid-19 yang menguruskan kepulangan di kedua-dua lapangan terbang berkenaan.

Beliau berkata, pasukan petugas Covid-19 itu diketuai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Apabila mereka (rakyat Malaysia yang tiba di lapangan terbang) tiba, mereka terlebih dahulu disaring sebelum dibawa ke pusat kuarantin yang telah ditetapkan.

“Selain itu, pihak Malaysia Airport Berhad (MAB) juga mempunyai polis bantuan untuk mengawal tahap keselamatan di kedua-dua lapangan terbang dalam tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ditanya mengenai tahap kawalan keselamatan di kedua-dua lapangan terbang itu dalam tempoh PKP, Abdul Hamid berkata, tahap keselamatan adalah normal dan terkawal.

Sementara itu, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihak ATM juga telah mengerahkan petugas-petugas ATM daripada bahagian kesihatan untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) membuat saringan pemeriksaan Covid-19 di kedua-dua lapangan terbang berkenaan.

“Petugas kesihatan ATM terdiri daripada Kor Kesihatan Diraja yang dikerah di sana (KLIA dan klia2) untuk membantu dan menguruskan kepulangan rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani mendedahkan sehingga kini terdapat seramai 74 warga PDRM yang disahkan positif wabak Covid-19.

“Mereka yang positif wabak berkenaan terdiri daripada 10 pegawai polis, 25 anggota polis, 38 ahli keluarga mereka serta seorang kakitangan awam manakala 1,451 diarahkan untuk kuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 9:23 PM