ANTARA sekatan jalan raya yang diadakan di seluruh negara. FOTO Arkib NSTP
ANTARA sekatan jalan raya yang diadakan di seluruh negara. FOTO Arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


HELAH pasangan kekasih bersama rakan lelaki daripada ditahan polis tidak menjadi apabila masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Perlis, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Anuar Jusoh berkata, pasangan terbabit yang berusia 26 dan 23 tahun itu dikatakan keluar bersiar-siar bersama remaja lelaki berusia 15 tahun di dengan menaiki kereta sebelum ditahan dalam sekatan jalan raya di Kuala Perlis, kira-kira 6 petang.

Katanya, pada awalnya, kesemua mereka mengaku adik-beradik dan memberi alasan keluar dari rumah untuk membeli sebotol kicap dan beberapa barangan keperluan harian lain.

“Namun apabila kad pengenalan pasangan berkenaan diperiksa, nama ayah mereka berlainan selain alamat wanita terbabit adalah di Abi, Padang Besar, manakala pasangannya dari Pulau Langkawi, Kedah iaitu keduanya jauh dari Kuala Perlis.

“Ketika disoal lagi, mereka mendakwa bahawa mereka adalah adik-beradik tiri, sebelum tidak lama selepas itu menukar pula kenyataan bahawa mereka adalah suami isteri. Tetapi, tiada sebarang bukti pernikahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anuar berkata, selepas tidak tahan diasak pelbagai soalan oleh pihak berkuasa, akhirnya pasangan terbabit mengaku keluar bersiar-siar di sekitar Kuala Perlis.

“Polis mengingatkan bahawa PKP ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh orang awam,” katanya.

Anuar berkata, notis kompaun dikeluarkan kepada ketiga mereka mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sementara itu, seramai 11 orang ditahan di sekitar Kuala Perlis kerana mengingkari PKP dan tujuh daripadanya dikenakan kompaun atas kesalahan mengingkari perintah berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 9:04 AM