Shahrinnahar Latib


SEORANG guru di Raub terpaksa menanggung kerugian hampir RM50,000 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud yang menggunakan nama sebuah bank, akhir bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa lelaki berusia 41 tahun mendakwa melihat iklan berkenaan pinjaman wang di Facebook.

“Mangsa kemudian meninggalkan nombor telefonnya di ruang komen sebelum tidak lama kemudian dihubungi oleh seorang lelaki kononnya dari CIMB Kuala Lumpur.

“Setelah berbincang, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM50,000,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya lagi, suspek juga meminta mangsa untuk menyerahkan salinan MyKad, salinan slip gaji dan penyata akaun.

“Selepas menyerahkan semua dokumen itu, suspek menyatakan permohonan pinjaman mangsa diluluskan, namun perlu membuat bayaran untuk membuka akaun, insurans dan yuran pinjaman berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat 12 kali pindahan wang ke dalam lima akaun yang diberikan suspek membabitkan jumlah RM49,049.

“Namun sehingga kini, mangsa masih belum menerima wang pinjaman berkenaan dan diminta untuk membuat bayaran lagi.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam. dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 9:44 AM