ROBIAH dan anaknya mengangkat barangan makanan disumbangkan penderma di kediamannya di Kampung Bukit Langsat, Tanjung Bidara dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
ROBIAH dan anaknya mengangkat barangan makanan disumbangkan penderma di kediamannya di Kampung Bukit Langsat, Tanjung Bidara dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar


KEHILANGAN RM300 sebulan sebagai upah membersihkan surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan memberi kesan cukup besar kepada wanita ini untuk menyara empat anaknya.

Hanya dengan upah itu, Robiah Jantan, 57, yang kehilangan suami lebih empat tahun lalu itu berupaya menyara kehidupannya bersama empat anak berusia antara 16 hingga 19 tahun dan PKP menyebabkan hidup mereka amat tertekan.

Robiah berkata, sejak PKP dikuatkuasakan, dia tidak lagi mengambil upah membersihkan surau berhampiran kediamannya di Kampung Bukit Langsat, Tanjung Bidara dekat sini Alor Gajah dan terpaksa bergantung kepada bekalan bahan makanan yang masih ada.

“Alhamdulillah, minggu lalu ada orang bermurah hati sedekahkan beras dan barang makan yang lain kepada kami dan dapatlah kami meneruskan hidup walaupun terpaksa makan sekadar untuk mengalas perut.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang sudah memberikan sumbangan dan kami berdoa Allah murahkan rezeki dan memanjangkan usia mereka,” katanya ketika ditemui menerima sumbangan bahan makanan daripada seorang lelaki yang enggan namanya disiarkan di kediamannya, hari ini.

Robiah yang membesarkan anak bersendirian selepas suami menghilangkan diri lebih empat tahun lalu terpaksa berusaha menambah pendapatan dengan membina rumah mini atau replika rumah tradisional yang diperbuat daripada kayu yang dikutip di merata tempat.

Katanya, tujuh unit rumah berkenaan yang dibinanya tahun lalu mendapat sambutan baik daripada mereka yang bersimpati dengannya yang sanggup membayar lebih berbanding RM300 seunit yang ditetapkannya.

Bagaimanapun, sejak PKP dilaksanakan, tiada pelanggan yang hadir untuk mendapatkan replika berkenaan tetapi Robiah yakin, permintaan akan kembali pulih sejajar penamatan PKP.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 2:56 PM