GAMBAR hiasan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
GAMBAR hiasan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Yusmizal Dolah Aling


BEBERAPA pemimpin disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam waktu terdekat.

Mereka termasuklah Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad manakala Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap dikatakan akan dilantik sebagai Pengerusi Telekom Malaysia Berhad.

Sumber berkata, antara nama lain ialah Datuk Seri Idris Jusoh yang disebut-sebut sebagai pengerusi Felda, Datuk Seri Rohani Karim (Bernas), Datuk Seri Shahidan Kassim (FGV) dan Datuk Hasbullah Osman di Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Turut tular nama Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang dikatakan akan dilantik sebagai Pengerusi Tabung Haji, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya disebut-sebut akan ke Felcra, Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan), Tan Sri Noh Omar (Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia) manakala Ahli Parlimen Parit Datuk Nizar Zakaria dikatakan ke Lembaga Getah Malaysia.

Dalam kiriman WhatsApp yang mula berlegar sejak empat hari lalu, nama Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub turut tersenarai sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan beliau sudah pun dilantik ke jawatan itu semalam.

Sementara itu, Hasbullah ketika dihubungi berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung perkara itu.

“Benda tular ini biasalah. Saya belum terima surat atau panggilan telefon, saya dengar ada tular mengenai ini (lantikan pengerusi), tapi belum ada apa-apa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gerik, Perak.

Begitu juga dengan Nizar yang memaklumkan belum menerima makluman rasmi mengenai pelantikan itu.

“Saya mudah saja, kalau ada, saya terima sebagai amanah, kalau tak ada, kita buat kerja macam biasa. Mungkin pelantikan ini berperingkat-peringkat, kita tunggu sajalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 3:01 PM