ANGGOTA bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemui lemas di sungai Kampung Sumbiling. FOTO Juwan Riduan
ANGGOTA bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemui lemas di sungai Kampung Sumbiling. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


LELAKI yang dilaporkan hilang ketika mandi di sungai Kampung Sumbiling, Bongawan, Papar, 9 April lalu, ditemui lemas, hari ini.

Mayat Martin Limbas, 54, ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis kira-kira 1 tengah hari tadi.

Sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar mandi di sungai berkenaan sebelum disedari hilang oleh keluarganya kerana tidak pulang ke rumah.

Keluarga mangsa kemudian membuat laporan kepada pihak bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan 4.50 petang, anggota BBP Kimanis bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Setiba di lokasi, operasi SAR dilakukan sehingga 6.06 petang dan ditangguh pada hari berikutnya. SAR disambung semula 8.46 pagi semalam.

“Namun mangsa gagal ditemui dan SAR ditangguh jam 4.30 petang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya, operasi SAR yang disambung semula hari ini menemui mangsa kira-kira 1 tengah hari.

“Mayat ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat 1.05 tengah hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 8:32 PM