TIGA peniaga di Pasar Selayang, Kuala Lumpur di kompaun selepas gagal mempamerkan tanda harga, semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP KL
TIGA peniaga di Pasar Selayang, Kuala Lumpur di kompaun selepas gagal mempamerkan tanda harga, semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP KL
Raja Noraina Raja Rahim


TIGA peniaga di Pasar Selayang, Kuala Lumpur di kompaun selepas gagal mempamerkan tanda harga, semalam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas pegawai penguat kuasa melakukan pemeriksaan di pasar berkenaan.

“Peniaga terbabit dikesan melakukan kesalahan gagal mempamerkan tanda harga dan dikompaun RM400 serta-merta.

“Peniaga yang menjual barangan keperluan harian diingatkan tidak mengambil kesempatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sepatutnya peniaga bersyukur kerana dibenarkan menjalankan perniagaan dan wajib mematuhi undang-undang termasuk mempamerkan tanda harga dan tidak mengambil keuntungan secara tidak munasabah,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, KPDNHEP Kuala Lumpur memeriksa 881 premis membabitkan borong, pasar raya, runcit dan pasar basah sejak tempoh PKP berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

“Pemeriksaan di premis berdekatan kawasan perumahan turut dilakukan.

“Ia bagi memastikan bekalan mencukupi dan peniaga patuh kepada undang-undang khususnya membabitkan tanda harga dan tidak mengambil kesempatan mencatut,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan bekalan penutup mulut dan hidung serta pensanitasi tangan kini lebih mudah didapati di pasaran berbanding sebelum ini.

Sebarang aduan boleh disalurkan kepada KPDNHEP melalui portal [email protected] atau emel [email protected].

Selain itu, orang ramai boleh menghubungi pusat panggilan 1800-886-800, aplikasi Ez ADU serta WhatsApp di talian 019-2794317.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 12:58 PM