GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


PENIAGA di Chukai dibenarkan menawarkan khidmat penghantaran makanan atau barang keperluan tanpa perlu mendapatkan surat kebenaran daripada pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengeluarkan surat kebenaran kepada peniaga yang mahu menawarkan perkhidmatan berkenaan namun terdapat beberapa syarat perlu dipatuhi.

“Hasil perbincangan bersama Jawatankuasa Kerja Tindakan Kemaman sebelum ini, penghantaran hanya dibenarkan beroperasi antara 7 pagi hingga 6.30 petang sepanjang PKP.

“Selain itu, mereka juga perlu mematuhi lencongan yang ditetapkan PDRM dan tidak boleh menggunakan kemudahan ‘fast lane’ khas disediakan untuk ambulans dan petugas kesihatan.

“Lokasi penghantaran makanan atau barang pula hanya dibenarkan dalam jarak antara 10 hingga 20 kilometer dan tidak dibenarkan merentasi daerah lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanyan berkata, individu yang menjadi ‘runner’ juga perlu mematuhi peraturan lalu lintas sedia ada seperti memiliki lesen memandu, memakai topi keledar serta tidak melakukan ubah suai kenderaan.

Katanya, hanya seorang sahaja dibenarkan untuk melakukan penghantaran dan individu terbabit perlu menunjukkan bukti tempahan iaitu lokasi pembeli dan bukti bergambar.

Selain itu, wajib menunjukkan barang yang mahu dihantar kepada pihak berkuasa sekiranya diminta ketika ditahan dalam sekatan jalan raya.

“Peniaga juga perlu berpakaian kemas serta memakai penutup muka dan hidung, sarung tangan serta selalu membasuh tangan menggunakan sabun atau pensanitasi tangan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jusman Ibrahim menafikan pihaknya ada mengeluarkan arahan tidak membenarkan peniaga yang tidak mempunyai lesen di daerah ini menyediakan perkhidmatan penghantaran sepanjang PKP seperti tular di laman sosial sejak Selasa lalu.

Katanya, pihaknya tidak pernah menghalang peniaga termasuk mereka yang belum mempunyai lesen untuk meneruskan perniagaan mereka sepanjang tempoh ini.

Sebelum ini, tular satu rakaman suara mengatakan peniaga yang tidak mempunyai lesen tidak dibenarkan membuat penghantaran makanan atau barang sepanjang PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 3:50 PM