SERAMAI 41 pelajar dan penghuni Madrasah Miftahul Ulum sembuh Covid-19. FOTO ihsan Facebook Dr Noor Hisham Abdullah
SERAMAI 41 pelajar dan penghuni Madrasah Miftahul Ulum sembuh Covid-19. FOTO ihsan Facebook Dr Noor Hisham Abdullah
Raja Noraina Raja Rahim


SERAMAI 41 pelajar dan penghuni Madrasah Miftahul Ulum, Seri Petaling, yang positif jangkitan Covid-19 sudah sembuh dan dibenarkan keluar dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebelum itu semua pelajar lelaki berusia 14 hingga 29 tahun itu menerima rawatan di wad hospital berkenaan.

“Mereka sebahagian daripada pesakit positif Covid-19 daripada kluster perhimpunan tabligh yang sebelum ini dikuarantin di Institut Sosial Malaysia dan dimasukkan ke HCTM pada 2 April lalu.

“Mereka terdedah kepada Covid-19 sama ada ketika menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada awal Mac lalu atau persekitaran masjid selepas perhimpunan,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, mereka tidak mengalami sebarang simptom dan dua ujian saringan awal pada pertengahan Mac dan 24 Mac adalah negatif.

Bagaimanapun, katanya, keputusan ujian swab kali ketiga yang diambil pada 30 Mac lalu didapati positif Covid-19.

“Mereka dimasukkan ke HCTM untuk rawatan lanjut. Rawatan berjalan lancar dan hanya seorang daripada mereka mengalami simptom batuk pada 5 April lalu dan diberikan rawatan Hydrochloroquine.

“Kumpulan pelajar itu adalah pesakit muda. Justeru, proses penyembuhan dan prognosis adalah lebih baik berbanding pesakit lebih berusia atau menghidap penyakit kronik lain seperti hipertensi atau kencing manis,” katanya.

Menurutnya, saringan untuk diagnosis dan rawatan awal semasa tahap satu hingga tahap tiga amat penting bagi memastikan pesakit berpeluang sembuh sepenuhnya.

Katanya, proses kuarantin awal dan isolasi di wad selepas didapati positif juga langkah yang amat penting.

“Dalam kes berkenaan, kesemua mereka tidak mengalami sebarang simptom tetapi mampu menjangkiti dan menyebarkan Covid-19 kepada masyarakat tanpa menyedari mereka dijangkiti.

“Justeru, keperluan kepada proses pengesanan, kuarantin, isolasi dan rawatan awal adalah langkah tepat dalam membantu proses penyembuhan, menyekat penyebaran dan memutuskan rantaian jangkitan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 5:27 PM