Nurul Hidayah Bahaudin


PEMANDU lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan menipu penjualan penutup mulut dan hidung di laman Facebook, Februari lalu.

Tertuduh, Yeoh Joo Leong, 24, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nor Arifin Hisham.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa didapati dengan curang menerima wang berjumlah RM18,870 kepunyaan Wong Foo Ei, 25, ke dalam akaun Maybank miliknya yang mana mengetahui wang itu bukan miliknya.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Layang-Layang 2, Puchong Jaya Industrial Park, Puchong pada 6 dan 7 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh diwakili peguam bela Datuk Suraj Singh manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.

Selepas mendengar rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, tertuduh ditahan selepas melakukan penipuan penjualan penutup mulut dan hidung menerusi iklan di Facebook atas nama sebuah syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 10:46 AM
TERTUDUH mengaku tidak bersalah ke atas penipuan penjualan topeng mulut dan hidung di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Rohanis Shukri
TERTUDUH mengaku tidak bersalah ke atas penipuan penjualan topeng mulut dan hidung di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Rohanis Shukri