MESIN nyah cemar yang dicipta oleh anggota MBMB. FOTO Amir Mamat
MESIN nyah cemar yang dicipta oleh anggota MBMB. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


MAJLIS Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mencipta fasiliti alat nyah cemar yang dikenali sebagai mesin spray disinfeksi automatik (ADST) sebagai inisiatif baharu mengurangkan risiko jangkitan pandemik Covid-19.

Alat yang dicipta sendiri oleh beberapa kakitangan MBMB itu berfungsi secara automatik serta menggunakan kaedah sensor untuk mengaktifkan penyembur nyah cemar di seluruh badan seseorang yang melalui lorong disediakan itu.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, sebagai permulaan, mesin ADST itu ditempatkan di dua lokasi utama iaitu di bangunan MBMB sendiri bagi kegunaan anggota barisan hadapan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dan di Pasar Besar MBMB, Bachang yang menjadi antara lokasi tumpuan orang ramai .

Menurutnya, mesin yang berkapasiti 20 liter bahan disinfeksi itu membolehkan seramai 350 pengguna untuk satu masa dengan setiap seorang hanya mengambil masa kira-kira 10 saat setiap kali melaluinya.

MESIN nyah cemar
MESIN nyah cemar

“Kos pembuatan dan penyediaan sebuah mesin ADST itu adalah RM6,000 seunit dan kaedah disinfeksi yang dilakukan adalah berdasarkan kajian `literatur’ dan juga mengikuti standard yang ditetapkan.

“MBMB juga sedang mengkaji keperluan untuk menempatkan mesin itu di beberapa lagi lokasi terpilih yang lain bagi tujuan penjagaan kebersihan persekitaran dan pengguna khususnya buat penduduk dalam kawasan pentadbiran kami,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka hari ini.

Semalam, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri menyediakan empat ‘terowong sanitasi’ yang akan ditempatkan di beberapa kawasan termasuk di Rejimen 514 Askar Wataniah di Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) di Bukit Baru bagi membolehkan kegunaan anggota yang baru kembali daripada bertugas untuk proses nyah kuman dan menjaga kebersihan diri.

Ia adalah model sesuai untuk kegunaan orang awam dan jabatan serta agensi kerajaan di negeri itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 2:33 PM