SUSPEK tetak jiran (tiga dari kiri) dibawa keluar dari dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selepas mendapat perintah reman hari ini. FOTO NOR FARHANI CHE AD
SUSPEK tetak jiran (tiga dari kiri) dibawa keluar dari dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selepas mendapat perintah reman hari ini. FOTO NOR FARHANI CHE AD
Nor Farhani Che Ad


SEORANG lelaki parah akibat ditetak jirannya dengan parang dalam pertengkaran di Taman Kempas, Sungai Petani, malam tadi.
Dalam kejadian 8.30 malam, mangsa berusia 26 tahun cedera di tapak tangan, lengan, bahu sebelah kiri serta patah tulang lengan kiri akibat ditetak suspek berusia 63 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek tidak berpuas hati dengan bunyi bising dari rumah mangsa yang bersebelahan dengan rumahnya.

“Suspek mendakwa kerap mendengar bunyi bising seperti dinding rumah ditendang dari rumah mangsa sebelum suspek bertanya hal itu kepada mangsa.

“Suspek mendakwa mangsa cuba menumbuknya menyebabkan suspek menggunakan parang untuk mempertahankan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, sejurus kejadian itu, suspek tampil sendiri ke Balai Polis Sungai Petani untuk membuat laporan berkaitan kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa sedang bermain peralatan gimnasium di bahagian ruang tamu sebelum keluar dari rumahnya selepas mendengar teriakan suspek.

“Mangsa dikatakan baru mula bermain pada hari kejadian, apabila mangsa keluar dan cuba menerangkan kepada suspek, berlaku pertengkaran hingga mangsa ditetak.

“Mangsa dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan pada tulang tangan kiri,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan bersama sebilah parang miliknya ketika suspek membuat laporan polis dan direman selama enam hari bermula hari ini.

Menurutnya, kes disiasat Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 10:45 AM