GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


SEORANG perunding bius di Kuantan menanggung kerugian RM63,465 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku pada Isnin lalu apabila mangsa berusia 60 tahun menerima panggilan dari seorang lelaki mendakwa sebagai Pegawai Pengurusan Siasatan Khas Cawangan A, SPRM Putrajaya.

“Individu itu beritahu mangsa akan ditahan polis atas kesalahan tidak membayar cukai pendapatan atas syarikat perabot Umar ENT yang diwujudkan atas namanya pada tarikh 16 Mei 2017 di Perak.

“Mangsa terkejut kerana tidak mempunyai syarikat. Suspek beritahu mungkin ada orang yang menggunakan maklumatnya untuk menubuhkan syarikat tanpa pengetahuan dan kehadirannya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah itu secara atas talian sebelum panggilan disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Menurutnya, mangsa bercakap dengan seorang lagi suspek yang bernama Sarjan Azlan Musa dan bertanyakan beberapa soalan kepadanya.

“Mangsa diberitahu dia disyaki terbabit dalam jenayah pengedaran dadah dan penggubahan wang haram.

“Mangsa menjadi keliru, tetapi terus menurut arahan Sarjan Azlan mendakwa masalah berkenaan boleh diselesaikan oleh pihak atasannya,” katanya.

Beliau berkata, panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki kononnya berstatus datuk yang meminta mangsa memberi bekerjasama untuk mengesan penjenayah terbabit.

Menurutnya, mangsa diminta membuka laman web Bank Negara Malaysia bersama pautan diberikan suspek melalui WhatsApp (www.bank-negaramy.com).

“Mangsa mengikut dan memasukkan maklumat dua akaun banknya ke dalam laman web diberikan itu. Setelah itu, pengadu mendapati baki dalam dua akaun bank miliknya berkurangan sebanyak RM63,465.

“Selepas sedar dirinya ditipu, mangsa datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 11:13 AM