GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP


SEBANYAK 84 kompaun berjumlah RM21,000 dikeluarkan terhadap peniaga termasuk pemilik restoran atas pelbagai kesalahan sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu hingga semalam.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, kompaun RM250 setiap kes itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melakukan pemeriksaan di 7,033 premis perniagaan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKP itu, pihaknya turut menyita barangan di empat premis perniagaan termasuk sebuah restoran diarah tutup dan lesen premis perniagaan ditarik balik.

“Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan berikutan kegagalan pemilik premis perniagaan gagal mematuhi arahan PKP iaitu mengikut Seksyen 101 (v) Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171).

“Antara kesalahan dilakukan ialah tidak memiliki lesen perniagaan, menjalankan perniagaan di kaki lima dan gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norkamawati berkata, sepanjang tempoh PKP, semua restoran tertakluk kepada tempoh dibenarkan iaitu operasi secara pembelian bawa pulang.

Katanya, selain itu peniaga perlu memastikan penjarakan sosial satu meter, mengehadkan jumlah pelanggan, penyediaan pensanitasi tangan serta setiap pelanggan dan peniaga memakai penutup muka sepanjang masa berurusan.

“Pemilik premis perniagaan perlu memastikan pelanggan tidak berkumpul di dalam premis kerana semua pemilik premis perniagaan termasuk restoran diberi notis pemakluman mengenai prosedur operasi standard (SOP).

“Tindakan tegas itu berikutan amaran berulang sudah diberikan, namun ketidakpatuhan masih berlaku dalam usaha kita memutuskan rantaian wabak Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 11:32 AM