SOLAT Jumaat, berjemaah, Tarawih dan aktiviti masjid dan surau ditangguhkan seluruh Johor. FOTO NSTP
SOLAT Jumaat, berjemaah, Tarawih dan aktiviti masjid dan surau ditangguhkan seluruh Johor. FOTO NSTP
Omar Ahmad


KERAJAAN negeri melanjutkan tarikh penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah, solat Tarawih dan aktiviti masjid, surau dan musolla di seluruh negeri berakhir pada 28 April ini.

Dalam kenyataan bersama Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Johor, Datuk Mohd Noh Ibrahim, berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan perkara itu berdasarkan Fasal 57 (A), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Fasal 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor Tahun 2003 sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Menurutnya, laungan azan serta pelaksanaan bagi solat lima waktu dan solat Tarawih di masjid, surau serta musolla secara berjemaah hendaklah dilakukan oleh tiga pegawai masjid saja iaitu imam, bilal dan noja.

"Tiga pegawai masjid itu hendaklah yang melepasi saringan pemeriksaan kesihatan di Pejabat Kesihatan daerah. Manakala, ahli kariah yang lain hendaklah mendirikannya secara berjemaah di rumah masing-masing.

"Bagi menghidupkan syiar bulan Ramadan, masjid dan surau dibenarkan untuk menggunakan pembesar suara bagi mengumandangkan bacaan suci al-Quran 10 minit sebelum azan Maghrib dan bacaan al-Quran serta tahrim 15 minit sebelum waktu Subuh.

"Bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT dari segala wabak dan bencana wabak Covid-19 segera berakhir, Qunut Nazilah hendaklah dibaca oleh semua rakyat Johor, khususnya semua imam pada solat lima waktu dan solat Witir, Tarawih.

"Sepanjang tempoh ini, semua perhimpunan bagi tujuan aktiviti agama seperti kuliah, ceramah dan sebagainya di seluruh masjid, surau dan musolla hendaklah ditangguhkan.

"Arahan ini juga berkuatkuasa terhadap aktiviti kemasyarakatan yang lazimnya dilaksanakan di kawasan itu seperti kursus, majlis keraian, Pengurusan jenazah, memasak dan mengagihkan bubur lambuk serta seumpamanya", katanya kenyataan terbabit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 2:19 PM