ANTARA individu yang ditahan di daerah Kemaman selepas ingkar Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA individu yang ditahan di daerah Kemaman selepas ingkar Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Ihsan Polis.
Zatul Iffah Zolkiply


DIANGGARKAN 300 daripada 3,500 kenderaan yang ingin masuk ke Bandar Chukai setiap hari diarahkan berpatah balik selepas memberi alasan tidak munasabah.

Antara alasan diberikan orang awam adalah mahu membeli pil perancang dan membeli makanan walaupun waktu perniagaan sudah dihentikan ketika ditahan polis dalam sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya mengambil pendekatan yang lebih tegas bagi mengelak orang ramai mengambil kesempatan memandangkan masih ada segelintir pihak mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun hampir sebulan perintah itu dilaksanakan.

“Sebelum ini, kita hanya minta individu yang terbabit berpatah balik selepas nasihat diberikan tetapi kini kita mengambil langkah mengenakan kompaun dan tangkap jika mereka ingkar,” katanya ketika dihubungi di Chukai, hari ini.

Hanyan berkata, pihaknya turut meletakkan gegantung di empat lokasi SJR iaitu di Bukit Kuang, Sekolah Kebangsaan Pusat, Mak Lagam dan Tol Chukai.

Katanya, gegantung itu sebagai amaran keras kepada orang ramai supaya patuh kepada arahan PKP.

“Cadangan pemasangan gegantung ini daripada kami tetapi ia turut mendapat sokongan individu yang turut menyumbang bagi merealisasikannya.

“Peringatan dan nasihat sudah diberikan namun sekiranya mereka masih lagi berdegil, maaf tiada layanan kayangan untuk mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 5:16 PM