Noor Hidayah Tanzizi


WALAUPUN dilahirkan tanpa tangan, namun wanita orang kurang upaya (OKU) ini tetap berkorban tenaga dengan menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan.

Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan (KKTI), Norfarrah Syahirah Shaari, 32, menggunakan kemahiran menjahit menggunakan kaki untuk menghasilkan gaun isolasi yang akan disumbangkan kepada Hospital Teluk Intan (HTI) dan Klinik Kesihatan Teluk Intan.

Norfarrah Syahiran berkata, inisiatif #DariKomunitiUntukKomuniti dilakukan bersama sembilan kakitangan KKTI yang juga sukarelawan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan dibantu 25 tukang jahit lain.

“Sebanyak 400 meter kain digunakan untuk menghasilkan 252 gaun isolasi. Kain berkenaan akan dipotong sebelum diagihkan kepada sukarelawan untuk dijahit di rumah masing-masing bermula sejak enam hari lalu.

“Saya menjahit lapan pasang PPE, namun dua saja yang sudah siap kerana perlu membahagikan masa dengan kerja lain dan enam lagi akan disiapkan dalam minggu ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mereka akan mengumpulkan semua PPE pada Isnin depan sebelum diagihkan kepada petugas kesihatan.

“Ini sumbangan kecil kami dengan kemahiran yang ada kerana menyedari PPE menjadi keperluan penting bagi barisan hadapan,” katanya.

Pegawai JPJWPKL Nurul Syahirah Norazman melayan orang ramai yang datang di kaunter JPJ Wangsa Maju untuk  pembaharuan lesen kenderaan perdagangan, GDL, PSV. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Pegawai JPJWPKL Nurul Syahirah Norazman melayan orang ramai yang datang di kaunter JPJ Wangsa Maju untuk pembaharuan lesen kenderaan perdagangan, GDL, PSV. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.

Menurutnya, dia meminati bidang jahitan dan tidak berasa kekok menjahit dengan menggunakan kaki, malah turut menjahit baju untuk kegunaan sendiri sejak lapan tahun lalu.

“Menjahit dengan kaki nampak sukar, perlu pegang lipatan kain sambil jahit supaya kain tidak berubah kedudukan, tetapi saya bersyukur semua kerja rasa mudah cuma memerlukan kesabaran tinggi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 6:20 PM