HANYAN Ramlan (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas selepas menahan dua lelaki di Kemaman. FOTO ROSLI ILHAM
HANYAN Ramlan (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas selepas menahan dua lelaki di Kemaman. FOTO ROSLI ILHAM


MEMBELI rokok atau barang keperluan harian antara alasan popular orang ramai untuk melepaskan diri ketika berdepan sekatan jalan raya sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, alasan tidak munasabah itu sering diberikan supaya mereka boleh dilepaskan.

Menurutnya, sepanjang PKP bermula 18 Mac hingga hari ini, pihaknya menahan seramai 106 individu kerana ingkar PKP.

“Pada fasa pertama, kita tahan 30 individu dan fasa kedua yang berakhir pada hari ini, kita menahan seramai 76 orang.

“Kesemua yang ditahan melakukan pergerakan tanpa alasan munasabah sepanjang tempoh PKP berlangsung,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Pasir Gajah, Chukai, petang tadi.

Hanyan berkata, sebanyak empat sekatan jalan raya yang dilakukan di daerah Kemaman dan ada juga mereka yang melakukan kesalahan menghalang tugas penjawat awam.

“Paling kita kesal apabila ada berapa kes yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota keselamatan yang bertugas di sekatan jalan raya,” katanya.

Katanya,pihaknya mendapati ramai di antara orang ramai tidak merancang pembelian dan sanggup keluar memberi barangan keperluan setiap hari.

“Bila kita periksa, rumah mereka terletak dalam jarak melebihi 10 kilometer dan mereka sanggup turun naik setiap hari membeli barangan keperluan.

“Orang ramaiperlu bijak merancang pembelian barangan keperluan sehingga menyebabkan pertambahan kenderaan sehingga menyebab Kesesakan lalu lintas,” katanya.

Hanyan berkata, pihaknya akan memperketatkan lagi kawalan di setiap sekatan jalan raya di daerah itu.

“Kita juga akan melakukan pemeriksaan rambang terhadap kenderaan bagi mengelak berlakunya aktiviti jenayah termasuk dadah dan sebagainya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 9:42 PM