POLIS melakukan kawalan di jeti Pasar Besar Kota Kinabalu bagi menguatkuasakan PKP. FOTO Juwan Riduan
POLIS melakukan kawalan di jeti Pasar Besar Kota Kinabalu bagi menguatkuasakan PKP. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

PENGUATKUASAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi penduduk Pulau Gaya ke Pasar Besar Kota Kinabalu diperketatkan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya mengeluarkan arahan membenarkan hanya dua bot beroperasi bagi setiap kampung di pulau berkenaan.

Katanya, penumpang bot berkenaan perlu dibuat saringan oleh penghulu kampung masing-masing mengikut keperluan dan kesesuaian.

“Operasi bot terbahagi kepada dua tempoh masa iaitu enam bot untuk tiga kampung pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari manakala enam lagi bot untuk tiga lagi kampung dari jam 2 petang hingga 5 petang.

“Bot ini hanya bergerak sekali sahaja untuk menghantar penumpang, menunggu dan balik semula.

“Penumpang hanya dibenarkan membeli keperluan asas dan perkara mendesak sahaja,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di Pasar Besar Kota Kinabalu pada hari pertama fasa tiga PKP hari ini.

NORDIN bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji melakukan tinjauan di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
NORDIN bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji melakukan tinjauan di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan

Habibi berkata, semua elemen polis termasuk Pasukan Polis Marin (PPM) turut dikerah untuk memantau perkara ini dari semasa ke semasa.

“Kita mahu penduduk Pulau Gaya memberikan kerjasama sepanjang penguatkuasaan PKP ini.

“Fasa ketiga ini, polis lebih tegas terhadap individu yang degil dan ingkar PKP,” katanya.

Sementara itu tinjauan Habibi bersama Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Simandi kawasan jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, mendapati orang ramai yang berada di jeti pasar berkenaan kelihatan teratur dan patuh kepada pematuhan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 5:35 PM