KEADAAN rumah yang rosak selepas bumbung tercabut di Kampung Permatang Manggis. FOTO Nur Izzati Mohamad
KEADAAN rumah yang rosak selepas bumbung tercabut di Kampung Permatang Manggis. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


DUGAAN buat lapan beranak yang menetap di Kampung Permatang Manggis, Kepala Batas apabila bumbung ruang tamu rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut, semalam.

Dalam kejadian 8 malam itu, mesin pencetak yang baru dibeli untuk kegunaan anak-anak mereka bagi melakukan tugasan sekolah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut dimasuki air.

Che Puteh Ahmad Yusof, 40, berkata ketika kejadian dia dan suami Rozman Abdul Rahman, 46, meminta lima anak berusia tiga hingga 12 tahun termasuk ibu mereka berusia 64 tahun untuk menyelamatkan diri.

“Memang terkejut sangat sebab kali pertama kejadian seperti ini berlaku sepanjang tinggal di sini (Kampung Permatang Manggis).

“Habis semua bumbung di tingkat atas bahagian ruang tamu dan juga bilik tercabut akibat diterbangkan angin, namun syukur kami terselamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, dia bersama anak-anaknya mengangkat barangan seperti perkakas elektrik dan dokumen penting untuk disimpan di tempat selamat selepas ribut reda.

“Mesin pencetak yang baru saja dibeli untuk kerja sekolah anak-anak didapati dimasuki air dan berharap ia tidak mengalami kerosakan.

“Buat masa ini, kami sekeluarga menumpang sementara di sebuah rumah berhampiran bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan,” katanya.

Dalam kejadian itu, empat rumah dilaporkan mengalami kerosakan akibat ribut, manakala lebih 15 rumah pula dinaiki air berikutan banjir kilat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, berkata pihaknya bersama agensi berkaitan mengadakan tinjauan bagi menentukan kos yang diperlukan bagi kerja-kerja pembaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 1:20 PM