FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Safuri Kamarudin


LELAKI yang juga penagih dadah ditahan, semalam kerana menyebabkan kecederaan di belakang kepala bapanya selepas dibaling dengan bata di Mukim Bakai, Tawar, Baling akibat tidak diberi wang dimintanya.

Suspek berusia 26 tahun ditahan di rumah neneknya pada 7.30 malam selepas menghilangkan diri sejak kejadian pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, terdahulu kejadian berlaku 2 petang apabila suspek bertengkar dengan ibunya kerana enggan memberi wang.

“Apabila bapanya menegur kerana bertengkar dan memaki hamun emaknya, suspek naik berang lalu mengambil bata dan membaling sebanyak dua kali ke arah mangsa.

“Akibat itu, mangsa mengalami kecederaan di belakang kepala dan mendapat rawatan di Hospital Baling,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Malau pada hari kejadian sebelum suspek berjaya ditahan untuk siasatan.

Katanya, hasil soal siasat suspek yang juga penagih dadah mengaku membaling bapanya dengan bata kerana enggan memberi wang kepadanya.

“Suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 4:10 PM