MOHAMED Azmin. FOTO arkib NSTP
MOHAMED Azmin. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi


KABINET bersetuju memberi kebenaran kepada beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Ia termasuklah industri automotif, mesin dan peralatan, industri aeroangkasa, projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan serta perkhidmatan sains.

Selain itu, industri profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar, perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik, elektronik dalam pemborongan dan peruncitan serta perkhidmatan dobi turut dibenarkan.

Menteri Kanan (Kluster Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihak syarikat dalam sektor yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan bagi sektor masing-masing.

Katanya, kebenaran beroperasi itu juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan.

Menurutnya, ia adalah seiring dengan akujanji yang dipersetujui syarikat semasa mereka membuat permohonan untuk meneruskan operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“MITI sudah mendapat garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat dari KKM untuk diguna pakai syarikat yang dibenarkan beroperasi.

“MITI juga mewajibkan supaya syarikat yang dibenarkan beroperasi mesti mengemukakan senarai pekerja yang terbabit semasa PKP dan memastikan pergerakan pekerja terbabit hanya terhad dari rumah ke kilang atau premis sahaja.

“Syarikat hendaklah menyediakan alat saringan suhu badan serta saringan gejala batuk, sakit tekak atau sesak nafas, bacaan bagi setiap pekerja hendaklah direkod dan disimpan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan untuk rujukan,” katanya pada Sidang Media Khas di Putrajaya, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, majikan yang memohon untuk beroperasi perlu memastikan pekerja menjalani saringan di lebih 3,000 panel klinik kesihatan Perkeso di seluruh negara mengikut garis panduan yang ditetapkan KKM.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 5:21 PM