DATUK Marzuki Yahya. FOTO Danial Saad
DATUK Marzuki Yahya. FOTO Danial Saad
Yusmizal Dolah Aling


TIDAK perlu mencari perhatian dalam masalah dalaman Bersatu.

Itu tegas bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Marzuki Yahya berhubung kenyataan Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh menganggap dirinya masih pengerusi parti itu.

Katanya, bekas Perdana Menteri masih pengerusi seperti dulu kerana peletakan jawatannya ditolak Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Menurutnya, apa yang berlaku pada waktu itu ialah MPT meminta Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin kanan parti untuk berjumpa Dr Mahathir dan memintanya beliau menarik balik peletakan jawatan itu.

"Beliau bersetuju untuk pertimbangkan dan kembali menerima jawatan itu selepas dua hari.

"Maka Fasal 16.2 atau mana-mana fasal tidak terpakai dalam soal itu, jadi tak perlu nak mencari perhatian dalam masalah dalaman Bersatu," katanya kepada Harian Metro.

Di dalam status Facebooknya hari ini, bekas Ketua Umno Bahagian Cheras itu berkata, Fasal 16.9 perlembagaan Bersatu jelas menetapkan jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baharu mengikut Fasal 13.3 dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 16.2.

Syed Ali berkata, memandangkan Dr Mahathir sudah meletakkan jawatan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka beliau tidak boleh dikembalikan sebagai pengerusi sehingga selepas Persidangan Bahagian dan pemilihan diadakan.

Pada 8 April lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan sebagai pengerusi parti selepas tidak dicabar pada pemilihan parti berkenaan.

Sementara laman web Bersatu sudah memuat naik senarai terkini dan nama Dr Mahathir adalah calon tunggal bagi jawatan pengerusi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 2:21 PM