ALEXANDER NANTA LINGGI
ALEXANDER NANTA LINGGI
Noor Atiqah Sulaiman


SYARIKAT rantaian pembekalan makanan, e-dagang serta khidmat pengedaran yang menerima pengesahan kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum atau pada 14 April lalu tidak perlu mengemukakan permohonan baru dan boleh meneruskan operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, hanya pemohon yang masih belum menerima pengesahan daripada KPDNHEP sahaja diminta untuk membuat permohonan baharu secara atas talian di laman sesawang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Di bawah tempoh PKP Fasa 1 dan 2, KPDNHEP telah memberikan pengesahan kebenaran beroperasi bagi pemain-pemain industri yang terdiri daripada pengedar, pemborong, peruncit dan e-dagang dalam memastikan rakyat terus mendapat akses kepada keperluan asas dan produk kritikal sepanjang tempoh PKP.

“Bagi mengimbangi kelangsungan ekonomi negara, kerajaan bersetuju untuk mengambil langkah proaktif dan responsif bagi membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berfasa seperti yang diumumkan oleh kerajaan semalam,” katanya pada kenyataan hari ini.

Alexander berkata, bagi PKP fasa ketiga pula, kerajaan memutuskan untuk membenarkan beberapa perniagaan lain untuk beroperasi.

“Antara sub kluster tambahan yang dibenarkan beroperasi di bawah kawal selia KPDNHEP ialah kedai perkakasan, kedai barangan elektrik dan elektronik termasuk kedai peralatan telekomunikasi dan perkhidmatan dobi.

“Semua permohonan bagi sub sektor tambahan ini perlu dikemukakan kepada MITI secara atas talian di www.miti.gov.my https://application.miti.gov.my.

“Hanya permohonan yang menepati syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) dan lengkap sahaja akan dipertimbangkan. Permohonan yang diterima selain daripada melalui portal berkenaan tidak akan diproses,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, syarikat yang ingin mengemukakan permohonan sub sektor tambahan di bawah kawal selia KPDNHEP juga hendaklah memastikan lokasi operasi mereka tidak berada di zon merah, zon kuning atau yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang PKP.

“Selain pematuhan kepada syarat-syarat dan garis panduan yang diperketatkan ini, kebenaran beroperasi ini juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh MKN, KKM, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan dari semasa ke semasa.

“Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 3:02 PM