NICOLE Tan Lee Koon (kiri) berbual dengan seorang gelandangan warga usia emas di Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya Paroi Seremban.NSTP/Mohd Amin Jalil.
NICOLE Tan Lee Koon (kiri) berbual dengan seorang gelandangan warga usia emas di Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya Paroi Seremban.NSTP/Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil

:

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelamatkan 24 gelandangan yang sebahagiannya warga emas di sekitar Seremban, hari ini.

Mereka yang terdiri daripada rakyat tempatan kini ditempatkan di penempatan sementara di Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya, Paroi, Seremban.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, keseluruhan seramai 36 gelandangan diselamatkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan 26 lelaki dan 10 perempuan.

Katanya, akhir bulan lalu, seramai 12 gelandangan diselamatkan dan ditempatkan di bangunan Dapur Kausar di Seremban.

“Usaha ini dilakukan bertujuan menyelamatkan mereka daripada terdedah kepada jangkitan Covid-19.

“Mereka sudah menjalani saringan kesihatan yang dilakukan kakitangan Klinik Kesihatan Senawang (KKS) dan setakat ini semuanya didapati sihat serta tidak mempunyai sebarang simptom penyakit.

“Mereka semua dikehendaki mematuhi semua protokol ditetapkan pihak berkuasa sepanjang PKP dilaksanakan dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditugaskan memantau dewan orang ramai ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Seremban, Datuk Zazali Salehudin dan Pengarah JKM negeri, Rosnah Sardi.

Mengulas lanjut, Nicole berkata pihaknya akan menyiasat latar belakang semua gelandangan terbabit supaya tindakan lanjut dapat diambil.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang berkata, mereka yang mempunyai keluarga akan diserahkan semula kepada keluarga masing-masing manakala warga emas ditempatkan di pusat orang tua Seremban.

“Bagi mereka yang sebatang kara, kerajaan negeri sudah mengenal pasti tempat sesuai untuk menempatkan mereka sebagai langkah jangka panjang memastikan golongan ini tidak terus terbiar,” katanya.

Sementara itu, Rosnah berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan gelandangan terbabit terutama dari aspek kesihatan sehingga tempoh PKP ini berakhir dan sebelum tindakan lanjut dari segi penempatan tetap dilaksanakan.

“Buat sementara ini mereka ditempatkan dalam khemah khas sumbangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan diberikan pakaian serta makan dan minum.

“Dari aspek keselamatan, dewan ini sesuai dan mampu menempatkan sehingga 50 gelandangan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 5:53 PM