Syaherah Mustafa

SUAMI isteri mengambil inisiatif menyumbangkan 500 baju hujan sebagai gantian kepada pakaian perlindungan peribadi (PPE) kepada petugas barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19.

Mohamad Zaidi Ibrahim, 28, berkata idea berkenaan timbul selepas melihat sebuah video tular menunjukkan petugas terpaksa memakai plastik sampah sebagai PPE pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, dia yang sedih melihat situasi itu mencari kaedah lain bersama isteri Nur Fatihah Salleh, 28, bagi membantu mereka lalu terus membuat tempahan baju hujan secara dalam talian.

“Saya menghubungi seorang petugas kesihatan untuk memberitahu niat kami, selain bertanya jika penggunaan baju hujan mampu menggantikan PPE buat sementara.

MOHAMAD Zaidi, dan isteri, Nur Fatihah menunjukkan baju hujan yang ditempah melalui atas talian untuk disumbangkan ke salah sebuah klinik kerajaan di Pasir Mas.
MOHAMAD Zaidi, dan isteri, Nur Fatihah menunjukkan baju hujan yang ditempah melalui atas talian untuk disumbangkan ke salah sebuah klinik kerajaan di Pasir Mas.

“Alhamdulillah, mereka memaklumkan baju hujan itu boleh membantu. Apa yang kami lakukan ini tidak seberapa berbanding pengorbanan petugas barisan hadapan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Jelapang, Pasir Mas, semalam.

Mohamad Zaidi berkata, dia dan isteri dalam usaha mencari bahan untuk membuat secara sendiri (DIY) pelindung muka yang juga boleh digunakan petugas kesihatan.

“Kami gembira apabila mereka menerima sumbangan baju hujan ini, malah mengucapkan terima kasih atas inisiatif ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 8:15 PM