Kebakaran yang berlaku di Hutan Simpan Kuala Langat. FOTO ihsan JBPM
Kebakaran yang berlaku di Hutan Simpan Kuala Langat. FOTO ihsan JBPM
Ruwaida Md Zain


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berdepan kesukaran dalam usaha memadamkan kebakaran besar hutan dianggarkan 50 hektar di kompartmen 21 Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, di Banting.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata, kesukaran itu disebabkan beberapa halangan termasuk tiada laluan masuk kenderaan dan tiada sumber air.

"Selain tiada laluan masuk dan sumber air, bomba turut berdepan dengan keadaan cuaca yang panas, kering dan berangin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, sebaik menerima laporan semalam, dia menggerakkan anggotanya ke lokasi untuk meninjau keadaan di kawasan kebakaran itu.

"Satu pasukan peninjau digerakkan pagi tadi ke lokasi kerana tiada laluan masuk kenderaan dan tiada sumber air.

"Bomba menggunakan dua kaedah untuk membuat tinjauan, pertama tinjauan udara menggunakan helikopter milik JBPM. Kedua, kita menghantar pegawai dan anggota dengan berjalan (di kawasan berkenaan) berdasarkan bacaan peta.

"Peninjauan udara dibuat untuk mengenalpasti keluasan kebakaran, mencari sumber air dan laluan masuk. Tinjauan juga untuk mengenalpasti strategi pemadaman yang sesuai," katanya.

Katanya, beliau sudah mengarahkan seramai 40 anggota dan enam pegawai kanan ke lokasi pada serta menggerakkan logistik dan peralatan pemadaman ke lokasi.

Untuk rekod, kebakaran yang dilaporkan sejak semalam itu adalah kali kedua selepas kejadian pertama berlaku bulan lalu.

Pada Mac lalu, kira-kira 35 hektar daripada kawasan hutan simpan itu dilapor terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 10:53 PM