GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


SERAMAI 1,089 amil dilantik untuk memudahkan umat Islam yang tiada kemudahan akses Internet membayar zakat fitrah tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), M Rozi Bidin berkata, amil itu dilantik mengikut mukim masjid di seluruh negeri.

Beliau berkata, bagaimanapun, umat Islam digalakkan terlebih dulu mendapatkan bantuan ahli keluarga yang memahami dan mengetahui kaedah pembayaran zakat secara atas talian.

“Umat Islam yang mahu menggunakan khidmat amil diminta mematuhi langkah pencegahan, seperti melakukan jarak sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta tidak berjabat tangan ketika urusan pembayaran dan penerimaan zakat.

“Amil yang diberi tanggungjawab membuat kutipan zakat diminta memaklumkan kepada anak mukim melalui hebahan di masjid atau surau, ” katanya.

Maidam mengumumkan kadar fitrah tahun ini sebanyak RM7 seorang.

M Rozi berkata, walaupun Maidam melantik amil, tetapi umat Islam digalakkan mendapatkan bantuan ahli keluarga yang mengetahui kaedah pembayaran zakat secara atas talian.

Katanya, pembayar yang tertakluk di bawah arahan kuarantin dinasihatkan supaya mewakilkan bayaran zakat kepada orang lain atau menggunakan aplikasi dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 10:51 AM