X
STATUS tular mengenai penutupan wad ICU HSB. FOTO Sebenarnya.my
STATUS tular mengenai penutupan wad ICU HSB. FOTO Sebenarnya.my
M Hifzuddin Ikhsan


JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan menutup wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar seperti tular di media sosial, hari ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, wad berkenaan beroperasi seperti biasa, tetapi tiada pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital itu perlu ditempatkan di ICU, ketika ini.

Katanya, video dan kenyataan yang dimuat naik di media sosial memaparkan wad berkenaan ditutup dibuat orang perseorangan tanpa pengetahuan pihak pengurusan HSB atau JKN Kedah.

“Semua pihak terutama anggota kesihatan JKN Kedah diminta tidak mengeluarkan kenyataan, memuat naik gambar atau video yang boleh mengelirukan dan menimbulkan persepsi salah kepada masyarakat awam.

“Semua pihak juga dinasihatkan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan dan patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hari ini tular kenyataan dan video di laman sosial Facebook yang dibuat seorang individu mendakwa penutupan wad ICU bagi merawat pesakit Covid-19 di HSB.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 6:09 PM