PERKHIDMATAN pembayaran zakat fitrah melalui amil boleh diadakan tetapi ia perlu diadakan pada tahap paling minimum. FOTO Arkib NSTP
PERKHIDMATAN pembayaran zakat fitrah melalui amil boleh diadakan tetapi ia perlu diadakan pada tahap paling minimum. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad

MAJLIS Agama Islam negeri dan agensi mengutip zakat digalakkan mengadakan inisiatif pembayaran zakat fitrah secara dalam talian pada Ramadan nanti bagi mengekang pandemik Covid-19.

Tiada sebarang perkhidmatan kaunter zakat fitrah di tempat tumpuan awam seperti di pasar raya bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bayaran secara dalam talian akan memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan dengan lebih pantas dan selamat bagi memutuskan pandemik berkenaan.

Menurutnya, untuk golongan yang tidak mahir dalam teknologi maklumat (IT), perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui amil boleh diadakan tetapi ia perlu diadakan pada tahap paling minimum.

Katanya, segala arahan dan tatacara kawalan seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi jika urusan cara ini (amil) diadakan.

“Selain itu, terdapat beberapa beberapa cadangan pelaksanaan bayaran seperti pandu lalu, kutipan dari rumah ke rumah.

“Proses pembayaran cara itu perlu dilakukan dalam tempoh yang singkat, selain memastikan pembayar dan amil sentiasa menjaga kebersihan, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Pembayar juga digalakkan untuk menyediakan wang secukupnya dan tidak perlu bersalaman ketika membuat pembayaran dan segera beredar selepas selesai urusan,” katanya.

Zulkifli berkata demikian menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.

Menurutnya, sekiranya amil atau pembayar berada dalam keadaan tidak sihat, mereka tidak dibenarkan memungut atau menunaikan zakat fitrah pada ketika itu.

Katanya, individu yang disahkan positif atau baru sembuh Covid-19 serta termasuk dalam kategori pesakit dalam siasatan (PUI) perlu mewakilkan pembayaran kepada ahli keluarga atau waris yang sihat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 7:12 PM