X
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PENIAGA dan penjaja kecil disarankan menerokai platform digital dalam memasarkan produk sebagai alternatif kepada perniagaan konvensional.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berkata, langkah itu bagi memastikan kesinambungan perniagaan tidak terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, wabak maut itu secara keseluruhannya menjejaskan aktiviti ekonomi khususnya kepada peniaga dan penjaja kecil.

“Sudah tiba masanya peniaga dan penjaja menggunakan platform media sosial dan digital untuk memastikan perniagaan terus aktif dan mengurangkan impak kerugian.

“Kini pembeli juga lebih cenderung menggunakan platform digital dan berbelanja dalam talian ketika negara kini bergelut dengan Covid-19.

“Transaksi perniagaan juga mungkin akan meningkat khususnya ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini kerana pengguna memilih untuk berbelanja menggunakan platform digital,” katanya kepada Harian Metro.

Oleh itu, GPPPKMM memperkenalkan aplikasi Warong Digital dan ERamadhan Bazar untuk

membantu penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan khususnya sepanjang Ramadan.

Platform ini dibangunkan dengan kerjasama Kiplepay Sdn Bhd sebagai penyedia perkhidmatan pembayaran dalam talian untuk membantu penjaja dan peniaga melakukan urus niaga dalam talian dengan lebih mudah.

“GPPPKMM juga bekerjasama dengan syarikat penghantaran untuk memudahkan operasi dan penghantaran barang ke seluruh negara dibuat.

“Bagi penjaja dan peniaga yang berdaftar dengan Applikasi Warong Digital/ERamadhan Bazar boleh dimuat turun bermula hari ini. Aplikasi juga boleh dimuat turun di di ‘Playstore’ dan juga ‘IOS’,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 3:54 PM