Zuliaty Zulkiffli


DUA lelaki etnik Rohingya yang juga dalang kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar perairan utara negara ini ditahan pada Op Dallal melalui dua serbuan berasingan, pada 16 dan 18 April lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kedah/Perlis Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 36 tahun.

Untuk rekod, ‘Dallal’ bermaksud ejen darat dalam bahasa Bangladesh.

“Tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 36 tahun yang juga pemegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) di rumah teres di Taman Bersatu, Simpang Empat.

“Ketika serbuan, suspek bersembunyi di atas siling rumah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Zulinda berkata, suspek terbabit ada kaitan dengan dalang utama aktiviti jenayah penyeludupan warga asing yang aktif beroperasi di utara dan selatan Semenanjung.

Menurut Zulinda, pada 18 April, suspek kedua ditahan di rumah teres tidak bernombor di Guar Chempedak.

“Ketika serbuan, suspek bersembunyi di belakang pintu utama rumah.

“Hasil siasatan, kedua-dua suspek itu terbabit dengan penyeludupan etnik Rohingya di perairan Langkawi, 5 April lalu,” katanya.

Menurut Zulinda, mereka disyaki menjadi dalang dan tekong darat dalam urusan keluar masuk warga asing.

Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

“Hasil siasatan terhadap etnik Rohingya yang ditahan pada 5 April lalu mendapati, setiap seorang daripada mereka membayar tidak kurang daripada RM15,000 kepada ejen untuk urusan kemasukan ke negara ini.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek menggunakan beberapa nama samaran untuk mengelak identiti dan pergerakan mereka dikesan,” katanya.

Menurut Zulinda, pihaknya masih mengesan seorang lagi suspek yang juga dalang utama dan disyaki masih berada di sekitar utara Semenanjung.

Katanya, dalang utama ini berperanan mengatur kemasukan warga asing bagi memenuhi permintaan di Kedah, Pulau Pinang dan Johor.

Zulinda berkata, seorang daripada suspek tinggal di negara ini sejak lima tahun lalu manakala seorang lagi pada awal tahun ini.

“Kami akan memburu tekong darat yang bersekongkol dengan tekong laut untuk menyeludup warga asing ke negara ini, sama ada dalam kalangan warga asing, pemegang kad UNCHR dan juga rakyat tempatan.

“Mereka mengaut keuntungan besar menerusi penyeludupan pendatang tanpa izin ke negara ini serta eksploitasi warga kerja asing secara haram,” katanya.

Zulinda berkata, taktik digunakan sindiket terbabit adalah dengan memindahkan warga asing daripada bot yang membawa etnik Rohingya ke bot kecil sebelum dibawa ke Kedah, Pulau Pinang dan Johor.

Katanya, kegiatan itu turut dibantu rakyat tempatan dan kumpulan warga asing yang ditahan sebenarnya bukan mensasarkan Pulau Langkawi untuk menyeludup masuk.

Ia berlaku berikutan masalah teknikal.

“Kami mempertingkatkan kawalan di perairan negara dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membabitkan 15 aset di laut sepanjang 24 jam,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 4:53 PM
KAPTEN Maritim Zulinda Ramly menunjukkan gambar dua orang suspek yang disyaki dalang kepada aktiviti penyeludupan PATI ketika mengadakan sidang media di Pejabat APM Wilayah Utara. FOTO Amran Hamid
KAPTEN Maritim Zulinda Ramly menunjukkan gambar dua orang suspek yang disyaki dalang kepada aktiviti penyeludupan PATI ketika mengadakan sidang media di Pejabat APM Wilayah Utara. FOTO Amran Hamid