GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nor Fazlina Abdul Rahim


JABATAN Mufti Negeri Kelantan mengumumkan waktu solat Subuh di negeri itu dilewatkan empat minit daripada waktu sedia ada, berkuat kuasa 24 April ini.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, keputusan itu mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

“Perubahan ini adalah berdasarkan penggunaan nilai altitud matahari di bawah ufuk bagi permulaan waktu terbit fajar sadiq daripada 19 darjah yang diguna pakai sebelum ini kepada 18 darjah,” katanya.

Beliau berkata, keputusan juga dibuat melalui Mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang memutuskan bahawa perubahan itu hanya membabitkan waktu solat Subuh dan Imsak sahaja, manakala waktu solat fardu yang lain tidak berubah.

“Bagi solat Subuh yang didirikan sebelum ini adalah sah dan tidak perlu diganti (qadha’).

“Dengan ini, perubahan waktu solat Subuh bagi negeri Kelantan berkuat kuasa pada 24 April 2020, bersama 1 Ramadan 1441 hijrah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 8:48 PM