Asrizal Aris


INSTITUT Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghasilkan pakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) untuk petugas kesihatan barisan hadapan di Hulu Selangor.

IKBN Peretak yang juga di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghasilkan 591 Isolation Gown daripada 2,000 meter fabrik non woven dan 50 pelindung kepala (hood cover).

Pengarah IKBN Peretak, Normahsyuri Md Shariff berkata, pihaknya melalui tenaga pengajar Jabatan Teknologi Tekstil melakukan usaha itu bagi memenuhi keperluan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor untuk menyediakan pakaian PPE buat petugas kesihatan Covid-19.

Menurutnya, bahan asas seperti fabrik dibekalkan oleh PKD Hulu Selangor sendiri dan pihaknya dengan lapan tenaga kerja melakukan proses menjahit di Bengkel Inkubator, Jabatan Teknologi Tekstil IKBN Peretak.

“Setiap petugas hanya boleh memakai PPE ini untuk merawat seorang pesakit sahaja dalam satu masa dan kemudiannya ia perlu ditukar dengan sut yang baharu sekiranya mahu merawat pesakit yang lain.

“Jadi, pakaian PPE menjadi keperluan utama di semua hospital seluruh negara. Oleh itu, kami bersetuju untuk menyediakan pakaian PPE ini yang dilaksanakan dengan mengambil kira peraturan-peraturan sepanjang tempoh PKP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pakaian yang siap dijahit diserahkan sepenuhnya kepada PKD Hulu Selangor pada esok yang akan diedarkan kepada Pejabat dan Klinik Kesihatan Daerah Hulu Selangor mengikut keperluan.

Normahsyuri berkata, bagi fasa kedua , IKBN Peretak dengan kerjasama PKD akan menghasilkan 1,500 unit pakaian PPE Isolation Gown atas permintaan pihak petugas barisan hadapan.

“Dalam situasi sekarang pemakaian PPE diklasifikasikan sebagai langkah terakhir kawalan untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas kesihatan apabila mereka berhadapan dengan pesakit yang mempunyai gejala Covid-19.

“Oleh itu, kami anggap usaha kami ini sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertugas dengan risiko demi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

TIGA beradik di Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu gembira melihat sampul raya diterima. FOTO Ghazali Kori
TIGA beradik di Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu gembira melihat sampul raya diterima. FOTO Ghazali Kori

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 9:08 PM