Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TIGA penganggur dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kangar hari ini selepas didapati bersalah memiliki motosikal curi di Kurung Anai, Arau pada pertengahan bulan ini.

Malah, dua daripada mereka turut dipenjara satu bulan kerana ingkar tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terdahulu, tertuduh Saiful Amar Md Ros, 35, Muhammad Syabli Nooraldin, 21, dan Mohd Nur Aiman Noorzan, 19, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat curang menyimpan harta curi iaitu motosikal Honda EX5 milik Mahani Ahmad, 44, di sebuah rumah di Jalan Sungai Alor Melaka, Kurung Anai pada 16 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Muhammad Syabli dan Mohd Nor Aiman didakwa secara berasingan bergerak dari kawasan berasingan ke sebuah rumah di Jalan Sungai Alor Melaka, Kurung Anai yang juga rumah Saiful Amar yang juga di dalam mana-mana kawasan jangkitan wabak.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan 2020).

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, manakala semua tertuduh diwakili peguam Nurul Husna Muhamad Jamil dan Nor Herdawati Harun dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Nor Herdawati dalam rayuan memohon mahkamah mengurangkan hukuman terhadap Saiful Amar dan Muhammad Syabli kerana mengakui kesalahan dilakukan sejak hari pertama ditahan.

Kamaliza kemudian menetapkan kesemua tertuduh dihukum penjara enam bulan bagi kesalahan memiliki motosikal curi dan satu bulan penjara ke atas Muhammad Syabli serta Mohd Nur Aiman atas kesalahan mengingkari PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 3:28 PM
    TIGA penganggur dihukum penjara penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kangar atas kesalahan mencuri motosikal milik OKU. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
    TIGA penganggur dihukum penjara penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kangar atas kesalahan mencuri motosikal milik OKU. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN