ADNAN (kanan) memeriksa pemantauan harga bekalan keperluan harian untuk persediaan menyambut Ramadan di Pasar Besar Siti Khadijah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Nik Abdullh Nik Omar
ADNAN (kanan) memeriksa pemantauan harga bekalan keperluan harian untuk persediaan menyambut Ramadan di Pasar Besar Siti Khadijah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Nik Abdullh Nik Omar
Siti Rohana Idris

PERMINTAAN tinggi terhadap telur di Kelantan memaksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau bekalan itu secara berterusan di semua peringkat.

Pengarah KPDNHEP Kelantan Adnan Abd Rahman berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kekurangan telur sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dan berlanjutan ke fasa kedua.

“Ada kemungkinan disebabkan penggunaan tinggi termasuk ramai membuat kuih menyebabkan telur cepat habis, selain beras ketika PKP pertama dan kedua.

“Disebabkan itu, kita memantau penjualannya secara berterusan termasuk pengedarannya bagi mengelak pengguna terputus bekalan ketika fasa ini dan Ramadan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau ditemui ketika melakukan tinjauan pemantauan dan pemeriksaan barang keperluan di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, hari ini.

Selain telur, Adnan berkata, 26 barang keperluan asas dipantau sepanjang PKP antaranya, beras, tepung gandum, minyak masak, roti dan panadol yang menjadi keperluan penduduk ketika PKP.

Setakat ini katanya, pemantauan dibuat di 150 premis termasuk pasar raya, pasar borong dan kedai runcit pada setiap hari, memastikan bekalan mencukupi.

“Sebelum ini masalah berkaitan bekalan beras disebabkan pembelian masyarakat, namun kita sudah bekerjasama dengan Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan yang membawa masuk bekalan dari Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 8,395 premis diperiksa sejak PKP bermula 18 Mac lalu dan 26 kes dicatatkan iaitu tujuh kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011; Akta Kawalan Bekalan 1961 (9) dan masing-masing dua kes bagi kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Sementara itu, enam kes masih dalam siasatan dan enam kes dikompaun keseluruhan RM6,000 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan kompaun RM100 di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 5:43 PM