DUA lelaki ditahan di tepi jalan Kampung Durian Bador, Kuala Berang kerana melanggar PKP. FOTO Ihsan polis
DUA lelaki ditahan di tepi jalan Kampung Durian Bador, Kuala Berang kerana melanggar PKP. FOTO Ihsan polis
Zatul Iffah Zolkiply

DUA lelaki sanggup melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semata-mata mahu mendapatkan bekalan air ketum ketika ditahan di tepi jalan Kampung Durian Bador, di Kuala Berang, hari ini.

Dua suspek masing-masing 23 dan 32 tahun itu mengaku keluar dari rumah untuk membeli air ketum daripada rakan mereka.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 11 pagi ketika sepasukan pegawai dan anggota sedang melakukan rondaan PKP di kawasan Balai Polis Kuala Berang.

Katanya, anggota polis kemudian ternampak dua lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek tidak mengendahkan arahan polis sebaliknya memecut laju kenderaan ke arah Kampung Padang Setar.

“Anggota polis mengekori suspek sebelum kedua-dua mereka berjaya ditahan di tepi jalan besar Kampung Durian Bador.

“Hasil soal siasat, dua suspek yang bekerja sebagai buruh mengakui melanggar PKP apabila keluar dari rumah mereka di Kampung Durian Bador dan Kampung Durian Bador Tersat, di sini,” katanya.

Mohd Adli berkata, pihaknya turut merampas motosikal Honda EX5 dan satu botol mengandungi cecair kehijauan dipercayai air ketum.

Katanya, dua suspek yang positif dadah jenis methamphetamine kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 7:09 PM