Muhaamad Hafis Nawawi


TIADA solat fardu dan tarawih berjemaah serta solat Jumaat di masjid dan surau dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, rakyat sedang memasuki Ramadan dalam era normal baharu iaitu tidak ada solat solat fardu berjemaah, solat Jumaat dan solat Tarawih berjemaah di masjid dan surau dalam tempoh PKP.

Menurutnya, tidak ada juga majlis berbuka puasa, moreh selepas selesai solat Tarawih di masjid dan surau dalam tempoh PKP.

"Alternatifnya hidupkan ibadah dan tradisi Ramadan kita di rumah. Kita semua hendak beribadah dalam Ramadan sebagaimana sedia kala kerana ia adalah usaha memelihara agama (hifz al-din) dalam maqasid al-syariah.

"Namun, memelihara nyawa (Hifz al-Nafs) juga adalah penting ketika ini. Akhirnya, kita akan dapat satu jawapan; matlamat hifz al-din takkan tercapai kecuali dengan Hifz al-Nafs," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri. FOTO arkib NSTP
ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri. FOTO arkib NSTP

Zulkifli berkata, pihaknya bukan ingin menghalang melakukan ibadah tetapi apa yang ditekankan pelaksanaan solat berjemaah iaitu ia dibenarkan dilakukan di rumah masing-masing.

"Takkan anak ada masa lapang, suami, isteri ada duduk solat sendirian tetapi solatlah berjemaah dan kalau boleh ada jarak sedikit.

"Cuma yang kita jaga konsep jemaah beramai-ramai dalam jumlah yang besar mungkin akan tersebar wabak itu di mana natijahnya mungkin tidak akan menyelesaikan dan mengambil tempoh lama untuk dipulihkan," katanya.

Beliau juga dengan rendah hati memohon rakyat Malaysia supaya mematuhi apa yang ditetapkan pemerintah dan berdoalah kepada Allah mudah-mudahan ia selesai.

"Kita rindukan masjid dan surau dan harap ia akan dapat beroperasi seperti sedia kala selepas ini.

"Sejujurnya saya mahukan Ramadan yang terbaik untuk umat Islam di Malaysia. Saya bersyukur kerana anda semua amat memahami dan bersama-sama saya untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19. Yakinlah, Allah melihat apa yang kita lakukan, mendengar apa yang kita doakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 4:38 PM