KEDAI runcit yang tidak mempamerkan tanda harga dikenakan kompaun RM1,000 oleh KDPNHEP. FOTO Ihsan KPDNHEP
KEDAI runcit yang tidak mempamerkan tanda harga dikenakan kompaun RM1,000 oleh KDPNHEP. FOTO Ihsan KPDNHEP
Noorazura Abdul Rahman

GAGAL mempamerkan tanda harga, seorang pemilik kedai runcit di Jitra dikompaun sebanyak RM1,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Kubang Pasu K Muniandy berkata, pihaknya menerima aduan pada pagi hari ini sebelum sepasukan anggota yang diketuai oleh Penolong Pegawai Penguat Kuasa Che Azimin Che Ramli bertindak membuat pemeriksaan di premis berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan pada 10 pagi itu mendapati pemilik premis tidak mempamerkan sebarang tanda harga pada sayur-sayuran dan ikan untuk jualan.

"Tindakan diambil mengikut Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana tidak mempamerkan tanda harga.

"Peniaga berkenaan kemudiannya bertindak menjelaskan bayaran kompaun sebanyak RM1,000 yang dikenakan terhadapnya," katanya ketika dihubungi.

Muniandy berkata, pihaknya memberi amaran kepada semua peniaga agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerajaan selain tidak menaikkan harga secara tidak munasabah.

"Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Selain itu pengguna yang mempunyai maklumat dan aduan boleh menyalurkannya melalui portal [email protected], Call Centre 1800 886 800, emel [email protected].

"Aduan juga boleh dibuat di aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC)," katanya.

Sementara itu, Muniandy berkata, penduduk di daerah itu tidak perlu bimbang mengenai bekalan barangan sempena Ramadan.

Menurutnya, sehingga kini semua bekalan keperluan mencukupi termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, telur dan lain-lain.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 6:37 PM