PETUGAS Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menggunakan alatan khas untuk mencerap anak bulan bagi menentukan tarikh bermula Ramadan di Bukit Pelindung. FOTO Farizul Hafiz Awang
PETUGAS Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menggunakan alatan khas untuk mencerap anak bulan bagi menentukan tarikh bermula Ramadan di Bukit Pelindung. FOTO Farizul Hafiz Awang
BERNAMA

ESOK, seluruh umat Islam di Malaysia dan beberapa negara lain di dunia akan menyempurnakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan.

Cuma kedatangan Ramadan tahun ini tentunya tidak akan sama dengan tahun sebelum ini.

Tiada siapa dapat menduga, disebabkan satu virus yang menularkan wabak Covid-19, masyarakat seluruh dunia kini terpaksa menjalani kehidupan luar daripada kebiasaan sebagai satu norma baharu.

Ini termasuk umat Islam yang setiap tahun menjalani ibadah puasa apabila tiba bulan mulia, Ramadan pastinya disertai dengan pelbagai amalan serta tradisi.

Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, kedatangan Ramadan kali ini bukan sahaja berbeza, tetapi terpaksa melupakan aktiviti mantai, yang menjadi salah satu tradisi masyarakat di negeri sinomin dengan Adat Perpatih ini.

Mantai menurut dialek Negeri Sembilan bermaksud membantai dan sudah diamalkan sejak nenek moyang dahulu apabila penduduk bergotong-royong menyembelih lembu atau kerbau kemudian melapah dan membahagikan daging untuk semua.

Acara ini dilakukan sehari sebelum bermulanya ibadah puasa dan turut diamalkan sebelum sambutan Aidilfitri dan Aidiladha. Daging sembelihan akan dimasak rendang selain aktiviti membakar lemang.

Ia menjadi antara acara wajib bagi setiap keluarga terutama di daerah Jempol, Kuala Pilah, Jelebu, Tampin, Rembau, malah di Seremban yang masih berpegang teguh dengan adat itu.

Bagi orang Negeri Sembilan, sememangnya seperti tidak lengkap menyambut Ramadan atau hari raya jika tidak melemang dan merendang yang menjadi makanan tradisi masyarakat.

Walaupun aktiviti gotong-royong menyembelih lembu atau kerbau jarang dilakukan, tetapi daging lembu dan kerbau segar tetap ada di setiap rumah dengan membelinya daripada penjual.

Satu pemandangan biasa apabila hari mantai, di sepanjang jalan dari Ulu Bendul hingga ke Kuala Pilah dan Bahau, akan dipenuhi dengan gerai menjual daging lembu dan kerbau segar bagai cendawan tumbuh di tepi jalan utama.

Acara mantai antara aktiviti merapatkan hubungan kekeluargaan yang menjadi keutamaan bagi masyarakat di Negeri Sembilan yang mementingkan muafakat dan perpaduan.

Ada sanggup mengambil cuti tahunan semata-mata untuk pulang ke kampung untuk bersama-sama keluarga pada hari itu.

Kenderaan anak yang memenuhi halaman rumah pastinya menambah kegembiraan ibu bapa yang tinggal di kampung.

Suasana riuh-rendah apabila begitu ramai yang berkumpul, bersama-sama melakukan pelbagai aktiviti antaranya memasak rendang dan membakar lemang yang dilakukan hampir setiap rumah.

Wangi bau asap tempurung kelapa dan kayu ketika memasak lemang dan merendang menusuk ke hidung apabila melalui rumah yang masih memeriahkan tradisi itu.

Makanan dimasak biasanya akan disedekahkan pula kepada jiran berdekatan walaupun setiap keluarga memasak menu hidangan sama.

Pada malamnya, seluruh keluarga akan bersama-sama ke surau dan masjid berdekatan bagi menunaikan solat Isyak dan solat sunat terawih malam pertama bersama-sama, diikuti sebelum Subuh esoknya, akan bersahur dan kemudian berbuka puasa pertama seisi keluarga.

Tahun ini, sambutan Ramadan pastinya akan sunyi. Acara mantai akan menjadi berbeza daripada kebiasaan apabila fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 14 April akan hanya tamat pada 28 April, iaitu bersamaan 5 Ramadan.

Tiada pergerakan merentas sempadan negeri dibenarkan sepanjang PKP ini.

Ini bermakna kemeriahan untuk pulang ke kampung bagi menyambut kedatangan Ramadan tidak akan berlaku pada tahun ini kerana arahan jelas semua perlu berada di kediaman mereka berada sehingga PKP berakhir.

Bagi mereka yang sempat balik ke kampung sebelum perintah PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, sudah tentu akan memanfaatkan waktu ini bersama keluarga, namun suasananya tetap berbeza.

Penjarakan sosial perlu sentiasa dijaga dengan aktiviti perkumpulan tidak dibenarkan sama sekali termasuklah menunaikan solat sunat terawih di surau dan masjid.

Apa yang lebih penting sekarang untuk memastikan rantaian jangkitan wabak Covid-19 dapat diputuskan segera.

Apa salahnya kita sama-sama berkorban untuk Ramadan dan mungkin sambutan Aidilfitri kali ini bagi memastikan kemenangan kita berjaya menewaskan virus itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 9:11 PM