SYAMSUL Hazeman Md Salleh dan (gambar kecil) contoh pas kelulusan yang dikeluarkan MPM. FOTO ihsan MPM
SYAMSUL Hazeman Md Salleh dan (gambar kecil) contoh pas kelulusan yang dikeluarkan MPM. FOTO ihsan MPM
Noor Hidayah Tanzizi


MAJLIS Perbandaran Manjung (MPM) mengeluarkan pas kelulusan niaga dengan hologram khas kepada peniaga dalam talian di Manjung sepanjang tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan (PKP) dan Ramadan ini.

Yang Dipertuanya, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, inisiatif itu diwujudkan supaya pas berkenaan tidak ditukar milik atau ditiru dan memudahkan pihaknya mengawal selia supaya kemudahan itu tidak disalahgunakan.

Menurutnya, setakat ini lebih 800 peniaga dalam talian sudah berdaftar dengan pihaknya, manakala untuk penghantar berdaftar pula mereka sudah menerima lebih 700 permohonan.

"Selain itu, kami juga meletakkan kod QR supaya pembeli boleh mengimbas kod pada pas peniaga yang diiklankan dan pihak berkuasa juga boleh menyemak di lapangan sama ada asli atau tidak.

"Justeru, penduduk di daerah ini digalakkan membeli makanan dengan peniaga yang sudah mendapat pas kelulusan niaga kerana selain diakui peniaga sah, mereka juga sudah melengkapi syarat pelesenan dan pengendalian makanan MPM," katanya ketika dihubungi, hari ini ini.

Katanya, inisiatif itu juga adalah kesinambungan SMART [email protected] yang dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Syamsul Hazeman berkata, pihaknya akan memulangkan semula deposit bazar Ramadan kepada peniaga secara berperingkat.

"Proses berkenaan sudah bermula Isnin lalu dan kami akan menghubungi setiap peniaga terbabit untuk mendapatkan maklumat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 12:19 PM