FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


ENAM individu ditahan polis selepas dikesan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika menggunakan laluan tikus di Kuala Berang kerana untuk keluar mencari bekalan dadah dan air ketum.

Mereka yang dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah serta air ketum itu ditahan polis dalam tangkapan berasingan sepanjang PKP fasa tiga setakat ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, berdasarkan rekod pihaknya tiada tangkapan dilakukan ketika PKP fasa pertama dan kedua.

"Mereka turut memilih laluan tikus bagi mengelak pergerakan mereka disedari pihak berkuasa ketika cuba mendapatkan bekalan bahan terlarang itu.

"Ketika ditahan, semua mereka mengaku keluar dari rumah masing-masing untuk mendapatkan bekalan pil kuda atau ketum dan sedar melakukan kesalahan kerana ingkar PKP.

"Mereka juga tidak memberi kerjasama kepada berkuasa apabila melarikan diri kerana sedar bahan terlarang yang ada pada mereka.

"Mereka bukan hanya menggunakan laluan tikus tetapi turut memilih bergerak pada waktu pagi atau petang kerana menyangkakan ia masa yang selamat untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Adli berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan rondaan bagi memastikan penduduk di daerah itu mematuhi PKP.

Bagi tujuan itu, katanya, seramai 190 anggota polis dibantu 60 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerahkan bagi memastikan PKP dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

"Kesemua anggota terbabit dalam tujuh sekatan jalan raya di daerah ini termasuk di hadapan Balai Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, susur keluar dan masuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Plaza Tol Ajil dan di Jalan Kuala Ping," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 4:21 PM