Boharaj menunjukkan sebahagian daripada 50 bungkusan pakaian di kedai dobi tradisional di Kampung Dobi Ghaut, Jalan York. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Boharaj menunjukkan sebahagian daripada 50 bungkusan pakaian di kedai dobi tradisional di Kampung Dobi Ghaut, Jalan York. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


PEMILIK dobi tradisional di Kampung Dobi Ghaut, Jalan York, Georgetown kembali menawarkan perkhidmatan selepas mendapat kebenaran untuk beroperasi walaupun menyedari kekurangan pelanggan.

Perkhidmatan dobi yang diusahakan lebih 100 tahun lalu oleh lima generasi keluarga M Parathirajan, 40, itu ditutup sejak sebulan lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Parathirajan berkata, kelonggaran diberikan kerajaan disambut baik kerana ia adalah mata pencarian bersama beberapa ahli keluarganya.

Katanya, walaupun sudah beroperasi semula, namun pelanggan tidak dapat menghantar pakaian mereka untuk dicuci seperti sebelum ini.

"Pelanggan kami kebanyakannya terdiri dari beberapa kolej serta rangkaian hotel di sekitar Pulau Pinang termasuk di Bayan Baru, Bayan Lepas, Batu Feringghi dan Seberang Perai.

"Berikutan kolej dan hotel berkenaan tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh ini, maka tiadalah pakaian untuk dicuci," katanya ketika ditemui, hari ini.

Perkhidmatan dobi milik keluarga Parathirajan terkenal di Pulau Pinang berikutan masih mengekalkan kaedah lama iaitu menggosok baju menggunakan arang dan cucian baju menggunakan tangan.

Sepanjang tempoh PKP ini, Parathirajan dibantu sepupunya, S Boharaj, 24, dan seorang lagi pekerja di bahagian cucian.

Parathirajan berkata, banyak pakaian tidak dapat diambil pelanggan berikutan mereka tidak boleh melepasi sekatan jalan raya selain berada melebihi radius 10 kilometer (km).

Katanya, sehingga kini terdapat 50 bungkusan pakaian milik pelanggan di kedainya dan tidak dapat diserah kepada pelanggan.

"Pada masa ini, kami hanya menerima tempahan cucian daripada individu atau penduduk berhampiran.

"Sebelum ini, pendapatan kami boleh mencecah RM10,000 sebulan dan selepas dibenar operasi semasa PKP, kami anggarkan pendapatan hanya sekitar RM700 sahaja.

"Apa boleh buat, semua menerima tempiasnya berikutan Covid-19 dan yang penting kita doakan supaya ia cepat pulih dan segera berlalu," katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan kedai barangan elektrik dan elektronik serta kedai dobi dibenarkan beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 8 malam, berkuat kuasa hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 4:30 PM