ANTARA 36 warga asing, termasuk tujuh warga tempatan ditahan selepas didapati melakukan aktiviti persundalan. FOTO Ihsan JIM
ANTARA 36 warga asing, termasuk tujuh warga tempatan ditahan selepas didapati melakukan aktiviti persundalan. FOTO Ihsan JIM
Rosyahaida Abdullah


SERAMAI 36 individu, termasuk tujuh warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Sungai Besi, Pudu di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi 2 petang itu, pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui wanita warga asing di dalam bilik berasingan bersama pelanggan terdiri lelaki tempatan dan warga Pakistan.

Menurut beliau, serbuan diketuai Pengarah Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa JIM yang turut menemui sejumlah kondom serta peralatan seks di dalam beberapa bilik hotel terbabit.

"Pasukan operasi turut menemui buku catatan rekod bayaran pelanggan selain wang tunai berjumlah RM20,656.45 yang dirampas untuk disiasat mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

"Sindiket persundalan yang didalangi rakyat tempatan ini menyiarkan iklan berupa gambar perempuan berpakaian seksi melalui aplikasi WeChat sebagai modus operandi mereka.

"Wanita warga asing ini boleh ditempah sama ada melalui media sosial atau dilanggan secara 'walk-in' bagi tujuan persundalan yang mana tempahan dan langganan dikenakan bayaran antara RM180 hingga RM300 bagi satu sesi dengan bilik hotel disediakan secara percuma," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

WANITA warga asing yang ditahan di dalam bilik berasingan bersama pelanggan membabitkan lelaki tempatan dan warga Pakistan. FOTO Ihsan JIM
WANITA warga asing yang ditahan di dalam bilik berasingan bersama pelanggan membabitkan lelaki tempatan dan warga Pakistan. FOTO Ihsan JIM

Mengulas lanjut, Khairul berkata, secara keseluruhan seramai 23 wanita terdiri daripada 13 warga Thailand, tujuh warga Indonesia, dua warga Vietnam dan seorang warga Laos ditahan dalam operasi itu.

Katanya, kesemua tangkapan berusia antara 25 hingga 40 tahun dan akan disiasat atas kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu melanggar syarat Pas Lawatan Sosial.

"Turut ditangkap dalam serbuan ini adalah tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai ejen kegiatan pelacuran terbabit selain bertugas sebagai penjaga premis hotel berkenaan.

"Kesemua mereka akan disiasat mengikut seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melindungi mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

"Hasil pemeriksaan juga menemui dua wanita warga Indonesia yang juga pekerja pembersihan tidak memiliki pas yang sah dan ditangkap atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Dalam pada itu, Khairul berkata, empat lelaki tempatan yang ditemui di dalam bilik bersama pasangan perempuan warga asing itu turut ditangkap mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2) 2020.

"Pegawai kanan imigresen diberi kuasa oleh Menteri Kesihatan mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] bagi menguatkuasakan peraturan ini.

"Lelaki warga Pakistan yang juga pelanggan turut ditangkap selepas didapati tinggal lebih masa melebihi tempoh pas dan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Semua tahanan warga asing akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen, Semenyih dan sebagai langkah pencegahan penyebaran Covid-19, mereka akan disaring oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di depot sebelum direman untuk siasatan dan pendakwaan," katanya.

Khairul berkata, walaupun JIM hanya melaksanakan omnipresent dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), itu tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku.

"Tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warga asing yang cuba mengambil kesempatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 11:00 PM