DR Christina Rundi. FOTO Arkib NSTP
DR Christina Rundi. FOTO Arkib NSTP


DAERAH Tawau, Kota Kinabalu serta Lahad Datu kekal sebagai zon merah Covid-19 di Sabah setakat semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata Tawau kini merekodkan 81 kes positif wabak berkenaan namun tiada menunjukkan sebarang peningkatan kes.

"Kota Kinabalu mencatatkan dua kes positif baharu semalam sekaligus terdapat 47 kes secara keseluruhan manakala Lahad Datu kekal 42 kes bagi tempoh sama.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menyelaras semula kod warna zon kepada tiga zon iaitu zon hijau (tiada kes), zon kuning (1 hingga 40 kes) dan zon merah (lebih daripada 40 kes).

"Melihat bilangan kes yang dilaporkan untuk semua daerah ini, secara kumulatifnya zon ini akan kekal merah. Bagaimanapun, lebih penting untuk menilai situasi semasa di daerah-daerah ini dengan merujuk kepada bilangan kes aktif.

"Pihak kementerian kini melaporkan kes Covid-19 secara kumulatif dan kes aktif. Secara ringkasnya, kes aktif adalah kes yang masih dalam rawatan," katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Christina menyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) lebih memberi penekanan kepada langkah kawalan dan pencegahan yang perlu dibuat apabila terdapat sebarang kes Covid-19 dan tidak hanya fokus kepada status zon.

Beliau berkata siasatan akan dibuat ke atas semua kes Covid-19 dan kontak rapat berdasarkan pergerakan dalam tempoh 14 hari.

"Sampel daripada kontak akan diambil serta mereka akan diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

"Selain itu, saringan bersasar akan dilaksanakan sekiranya terdapat lokaliti yang melaporkan bilangan kes yang tinggi. Aktiviti ini dilaksanakan untuk semua kes tanpa mengira status zon," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 11:14 AM